MEDIA
BAITULMAQDIS: Penduduk Palestin dan Israel mampu hidup dua kali ganda lebih mewah berbanding sekarang jika tidak ada konflik antara mereka sejak dua dekad lalu, kata sebuah kumpulan pemerhati antarabangsa.
Kumpulan Strategic Foresight beribu pejabat di India yang mendakwa ia pernah menasihati kerajaan, berkata hasil laporan bertajuk Cost of Conflict in the Middle East yang dikeluarkan semalam, perlu mendapat perhatian segera.
Ketua kumpulan, Sundeep Waslekar dalam satu kenyataan berkata kajian yang dijalankan mendapati pendapatan setiap isi rumah di Palestin dan Israel boleh meningkat sehingga dua kali ganda berbanding sekarang. Bagaimanapun warga Israel mempunyai pendapatan 20 kali ganda lebih tinggi berbanding Palestin.
"Krisis semasa di Gaza sekali lagi mendedahkan betapa perlunya pertimbangan dibuat terhadap kesan jangka panjang akibat daripada pelbagai tindakan yang dilakukan," katanya.
Lebih 1,300 penduduk Palestin terkorban dalam serangan yang dilancarkan bermula 27 Disember lalu bertujuan melumpuhkan pergerakan Hamas manakala 13 askar Israel maut dalam pertempuran tiga minggu itu.
"Penduduk Israel mampu memperoleh pendapatan perkapita sebanyak AS$44,000 (RM154,000) menjelang 2010 berbanding AS$23,000 (RM80,500) sekarang, manakala pendapatan perkapita warga Palestin mampu mencapai pendapatan perkapita AS$2,400 (RM8,400) berbanding AS$1,220 (RM4,270)," sekarang katanya.
Walaupun banyak pihak percaya konflik antara Hamas dan kepemimpinan Palestin di Tebing Barat menyukarkan usaha damai, Waslekar melihat beberapa keadaan optimis selepas pelantikan Barack Obama sebagai presiden baru Amerika. - Reuters